UCAPAN ALUAN
MESEJ PENGERUSI
マレーシア日本語教師学会ホームページへようこそ!
Selamat datang ke laman web Persatuan Pengajar Bahasa Jepun Malaysia!
Saya percaya tidak ramai dalam kalangan kita biasa mendengar mengenai Persatuan Pengajar Bahasa Jepun Malaysia (MAJLIS). Oleh itu, laman web ini adalah platform "berkenalan" mengenai persatuan dan aktiviti yang berkaitan. Sebagai Pengerusi MAJLIS yang mewakili barisan jawatankuasa dan semua ahli berdaftar atau yang bakal menjadi ahli, saya mengalu-alukan kedatangan anda semua. Anda mungkin saja seorang pensyarah, guru atau pelajar atau sesiapa sahaja yang mempraktikkan bahasa dan budaya Jepun di Malaysia.
Menurut Japan Foundation Reports 2018 mengenai pelajar bahasa Jepun, Malaysia telah menduduki tangga ke-10 di dunia berbanding dengan negara-negara lain dengan jumlah 39,247 pelajar. Ini adalah kenaikan yang ketara berbanding laporan pada tahun 2015. Namun, fakta menarik mengenai laporan ini adalah nisbah pelajar dan guru. Nisbah purata yang diperoleh oleh Japan Foundation dalam laporan 2018 adalah 49.8 pelajar/guru. Sebaliknya, Malaysia menunjukkan nisbah 80.9 pelajar/guru disebabkan oleh jumlah populasi guru yang kecil. Saya percaya sebagai seorang pengamal, setiap daripada kita mempunyai cabaran yang harus kita atasi dan tujuan yang ingin dicapai. Kekurangan guru menjadi kekangan bagi banyak institusi untuk menyediakan atau mengekalkan kualiti pendidikan bahasa dan budaya Jepun yang baik. Ini boleh menjadi salah satu dilema yang dihadapi oleh kebanyakan kita mengenai Pendidikan Bahasa Jepun di Malaysia.
Oleh itu, sejajar dengan objektif penubuhan MAJLIS, iaitu membangun jaringan dan memupuk nilai-nilai moral dan budaya murni, bersama-sama kita saling menyokong dengan memanfaatkan kemahiran dan pengalaman setiap ahli di kalangan kita. MAJLIS adalah "platform" untuk mengumpulkan semua pakar, pengamal, pihak yang berminat dan lain-lain untuk berkongsi idea dan pandangan yang membina untuk peningkatan dan perkembangan Pendidikan Bahasa Jepun di Malaysia.
Mari kita semua berganding bahu dan mencipta masa depan yang kondusif untuk Pendidikan Bahasa Jepun di Malaysia.
Jom sertai MAJLIS hari ini!
DR. ZORAIDA BINTI MUSTAFA