EBOOK:
PdP Bahasa Jepun Dalam Talian

Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah menjadi alat yang sangat penting di masa kini. Penularan Pandemik Covid-19 di seluruh dunia telah menjadi pencetus mengaktifkan dan merancakkan lagi penggunaan ICT bagi kelangsungan hidup. Ini tidak terkecuali dalam bidang pendidikan. Perubahan ini berlaku dengan drastik dan mendesak dalam pengendalian PdP di peringkat pendidikan rendah mahupun tinggi. Sama ada suka atau tidak, pengajar mahu pun pelajar terpaksa menggunakan wadah PdP yang sebelum ini begitu asing bagi mereka seperti Zoom, Google Meet, Google Classroom dan Microsoft Teams.

Perubahan ini menuntut ramai pengajar tidak kira sama ada yang baru mengajar atau telah berpengalaman berpuluh tahun untuk bermula dari asas menggunakan alat-alat pengajaran secara maya ini. Mereka meneroka dan mencuba pelbagai perisian dan aplikasi yang ada dalam usaha mencari yang paling sesuai dan mudah digunakan dalam sesi PdP secara maya. Sungguhpun begitu, walaupun sukar, tidak dinafikan ramai pengajar yang berani dan rajin mencuba dan berjaya menemui malah mencipta kaedah pengajaran yang dirasakan berkesan dalam melaksanakan PdP dalam talian. Untuk itu, MAJLIS mengambil inisiatif untuk mengumpulkan sebanyak mungkin teknik, kaedah dan maklumat tersebut dalam bentuk penulisan dan dikumpulkan dalam satu sumber, iaitu buku elektronik atau e-Buku ini.

E-Buku ini bukan hanya menyajikan panduan atau teknik-teknik PdP secara maya tetapi secara tidak langsung menjadi wadah untuk para pengajar bahasa Jepun berkongsi pendapat dan pengalaman. Diharapkan akan lebih banyak lagi artikel-artikel yang berkaitan penggunaan ICT dalam PdP dikongsikan dan menjadi rujukan para pengajar dalam bidang pendidikan bahasa Jepun di Malaysia mahupun di seluruh pelusuk dunia.

Buku ini akan dimuatnaik ke Laman Sesawang MAJLIS untuk rujukan kepada sesiapa yang berminat dengan PdP bahasa Jepun sebagai bahasa asing secara maya dan ini membuka peluang untuk para pengajar bahasa Jepun di Malaysia mencipta jaringan. Buku elektronik ini juga merupakan salah satu sumbangan khidmat masyarakat MAJLIS.